Tuesday, June 24, 2008
Saturday, June 21, 2008
Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) is in CHAOS!!
Pada 16 Jun, 2008 yang lepas, lebih kurang 20 pelajar Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) telah mengalami histeria. I was one of them...!!!
Mase tu time kitorang tengah prep. Then, tibe2 je warden suruh balik awal. Kitorang pun hairan jugak la...Lepas naik dorm, kakak-kakak suruh ambil air sembahyang dan suruh baca Surah Yaasin dalam dorm. Hurm...Makin tak faham la kitorang jadinye...
pastu, dorm-mate gua masuk and dia dalam keadaan yang agak pelik dan merisaukan. Dia terus baring kat katil sambil nangis-nangis. Kitorang teruskan bacaan Yaasin...
Tapi makin lama, makin ramai pulak yang menjerit! So, kakak-kakak cadangkan supaya kitorang bace Yaasin secara beramai-ramai di court bola keranjang Asrama Puteri.
Haa...Mase ni la gua pun terlibat jadi mangsa...Mase tengah baca Yaasin, gua ternampak bayang lelaki berbaju putih, tengah duduk di celah-celah beberapa orang murid lain yang juga sedang membaca Yaasin. Ahh...Itu imaginasi gua sendiri je kowt, fikir gua...so gua pun ignore jela benda tu and just continue bace...
Pastu, kawan gua kat belakang suruh gua pandang bulan yang tengah mengambang penuh masa tu...(maybe die nak maksudkan yang hantu memang banyak mase bulan mengambang)...
Sedang gua pandang2 kat bulan tu, tiba-tiba mata ni terpandang la pulak kat atas sebuah pokok berhampiran. Saat inilah baru gua sedar bahawa lelaki yang berbaju putih tadi benar-benar ada dan bukanlah hanya khayalan gua semata-mata...
Apa yang gua nampak, pada mulanya lembaga itu seperti sedang memerhati kami semua yang sedang membaca Yaasin. Tapi secara tiba-tiba sahaja matanya memandang tepat ke arah gua lalu gua terus tidak sedarkan diri...
Bila gua sedar, tengok2 gua dah ada kat dalam Dewan Budiman...(semua yang `kena` pada malam tu dibawa ke dalam dewan besar berkenaan). Setelah gua dipulihkan, Ustazah Shima call father gua di Ampang and tak lama kemudian my Dad pun sampai. Lebih kurang sejam kemudian my Dad bawa gua balik ke rumah kami di Taman Bukit Indah, Ampang...
________________________________________________________________________
Keesokan harinya, gua balik ke hostel semula kerana yakin keadaan sudah OK. Tapi, rupa-rupanya pagi itu ada lagi lebih kurang 20 orang telah diserang. Ada yang sampai cuba mencederakan diri sendiri. Then, mase on the way nak naik dorm, makhluk tu ade lagi and kali ni dia memandang ke arah gua dengan muka yang marah dan pandangan yang bengis. Pahal lak dia nak marah?!?
Gua pon ape lagi...dah takut sangat macam tu nangis jela yang mampu...Tapi gua still try kuatkan semangat nak pegi class petang tu sebab tak nak ketinggalan pelajaran...
Laaaaa...Mase gue tengah jalan kat blok akademik, nak pegi class, gua nampak benda tu lagi.. Ni yang tak tahan ni coz dia macam nak ikot gua plak...Gua nangis lagi...dan terus menangis sampai la Cikgu panggil. Gua cerita semuanya kat Cikgu.
Cikgu pun dah tak tahu nak buat apa agaknya and terpaksa call my Dad again. My Dad pun datang semula fetch gua and sampai hari ni, 20 Jun, gua ade kat rumah lagi.
And menurut information yang diberi, semalam pun still ada lagi students yang kena gangguan makhluk-makhluk halus tu...lain orang nampak lain jenis makhluk. Ada yang nampak makhluk berbadan hitam dan berbulu, ada yang nampak makhluk bermata merah, ada yang nampak perempuan cantik. Makhluk yang gue nampak tu muka dia pucat lesi macam mayat...
Last sekali gue dengar cerita SMSS dah keluarkan arahan supaya murid-murid balik ke rumah sehingga hari Ahad ni...
So nampaknya kena tunggu jela sampai semuanya dah ok...hopefully soon...!!!
Kejadian ini ada dilaporkan di dalam Harian Metro 19 Jun, 2008 (mukasurat hadapan & mukasurat 6) dan 20 Jun, 2008 (mukasurat 12)...
Posted by Daniellia Zainisya at 1:24 AM 5 comments
Friday, June 20, 2008
Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) - Harian Metro 20/06/2008
Pelajar Terus Diganggu
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Fauzi Abdullah
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Kejadian histeria yang menyerang pelajar Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), Cheras di sini, terus berlanjutan apabila beberapa lagi pelajar dilaporkan masih diganggu makhluk halus selepas empat hari kejadian aneh itu berlaku.
Seorang pelajar sekolah terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 16, berkata dua rakannya turut terkena histeria malam kelmarin selepas secara tiba-tiba menjadi seperti orang hilang ingatan.
Menurutnya, kejadian terbaru itu menimbulkan kehairanan di kalangan pelajar selepas berpuluh-puluh rakan mereka yang terkena histeria sejak Isnin lalu, sudah diarahkan pulang ke rumah masing-masing.
“Saya antara pelajar yang diarahkan pulang ke rumah selepas terkena histeria kelmarin. Saya sangkakan semuanya sudah berakhir, namun beberapa rakan lain terus menjadi mangsa.
“Saya dihubungi seorang rakan sekolah malam kelmarin yang memberitahu, dua rakan lain tidak sedarkan diri selepas terkena gangguan terbabit. Keadaan ini pastinya akan menyebabkan pembelajaran kami di sekolah terganggu,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, dia sebelum ini turut terkena histeria apabila tiba-tiba tidak sedarkan diri di dalam kelas sekitar jam 10 pagi.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku terhadap diri saya, namun ketika itu saya terpaksa diusung ke dewan sekolah bersama pelajar lain yang dirasuk,” katanya.
“Sebaik saya dipulihkan, ada rakan yang memberitahu saya menjerit dan meraung akibat dirasuk tanpa saya sendiri menyedari apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, pihak sekolah perlu melakukan sesuatu bagi memastikan keadaan kembali pulih bagi membolehkan pelajar menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan penting tidak lama lagi.
Harian Metro semalam melaporkan, hampir 30 pelajar sekolah terbabit dilaporkan diserang histeria sejak Isnin lalu apabila ada di antara mereka mendakwa dibayangi makhluk bertubuh hitam dan bermata merah yang masuk ke kelas.
Akibatnya, kebanyakan pelajar terbabit terpaksa bermalam di surau asrama sekolah terbabit bagi mengelakkan gangguan berkenaan yang sukar dikenal pasti puncanya.
Jurucakap sekolah yang dihubungi berkata, satu laporan berhubung kejadian itu sudah dihantar ke Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran di Putrajaya untuk langkah sewajarnya.
Sementara itu, jurucakap Pusat Rawatan Islam Darul Syifa, Bangi, berkata beberapa orang pakar perubatan di pusat itu sudah dihantar ke sekolah terbabit untuk memberi bantuan malam Isnin lalu.
Katanya, bacaan Yasin dan sembahyang hajat sudah dilakukan bagi menghalang gangguan berkenaan terhadap pelajar sekolah itu.
“Kejadian histeria boleh diatasi sekiranya pelajar sendiri mendekatkan diri kepada Tuhan dengan melakukan perkara diwajibkan selain menjauhi larangan-Nya.
“Amalan membaca ayat Kursi dan tiga Qul termasuk zikir boleh menghalang makhluk halus ini dari meresapi minda pelajar,” katanya.
Katanya, pihak Darul Syifa yang sering dipanggil bagi tujuan sama mendakwa kejadian berkenaan mungkin ada kaitan dengan kegiatan kurang manis dilakukan segelintir pelajar yang boleh mengundang kehadiran syaitan atau iblis mendampingi mereka.
Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid, meminta pelajar memperbanyakkan ibadat bagi mendekatkan diri dengan Allah sambil menyifatkan kejadian itu berlaku disebabkan iman yang tipis membuatkan mereka lemah semangat.
“Kadang-kadang kita terlalu leka dan lupa kepada tanggungjawab kepada Allah kerana asyik dengan perkara yang mendatangkan keseronokan,” katanya.
Posted by Daniellia Zainisya at 9:35 AM 0 comments
Thursday, June 19, 2008
Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) - Harian Metro 19/06/2008
Dirasuk Makhluk Bermata Merah
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Salman Hamat
anbia@hmetro.com.my
CHERAS: Sebuah sekolah menengah berasrama penuh di sini `huru-hara’ selepas hampir 30pelajar lelaki dan perempuan diserang histeria apabila tiba-tiba meracau, menjerit serta melukakan diri sendiri dipercayai dirasuk makhluk halus.
Serangan histeria itu dikatakan bermula Isnin lalu apabila seorang pelajar lelaki tingkatan lima di Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), Cheras, tidak sedarkan diri dan rebah tanpa diketahui puncanya.
Kejadian itu berjangkit kepada beberapa pelajar lain menyebabkan sesi pembelajaran terganggu.
Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 14, berkata sebaik kejadian itu berlaku, beberapa lagi insiden aneh menyusul dan menyerang pelajar lain.
Menurutnya, dianggarkan hampir 30 pelajar diserang histeria menyebabkan keadaan menjadi huru-hara sejak tiga hari lalu.
“Apa yang saya tahu, pelajar pertama yang terkena histeria mula meracau selepas waktu Zuhur sebelum berjangkit kepada pelajar tingkatan lain, termasuk saya.
“Saya sendiri yang ketika itu berada di kelas tiba-tiba berasa lemah badan sebelum ternampak puluhan lembaga hitam bermata merah melayang masuk,” katanya ketika ditemui, semalam.
Dia selepas itu menjadi kaku dan tidak mampu bercakap sepatah perkataan atau meminta tolong.
Mangsa hanya tersedar sejam kemudian selepas dibawa guru ke bilik rawatan di sekolah berkenaan.
Sebaik tersedar, kata Mohd, dia terdengar bisikan suara lelaki di telinga yang memberitahu sekolah terbabit akan huru-hara.
“Saya sendiri tidak pasti siapa yang bercakap kerana ketika itu tubuh saya terlalu lemah dan ketakutan,” katanya.
Menurutnya, guru menghubungi ibu bapanya dan meminta dia dibawa pulang berikutan keadaan di sekolah terbabit kian tidak terkawal.
“Ketika itu ramai pelajar lain turut pengsan, malah ada yang meraung dan menjerit tanpa diketahui bahasa dituturkan.
“Mereka meracau hingga ada yang menyepak dinding serta melukakan diri sendiri. Saya sempat melihat seorang pelajar tingkatan lima berdarah di kaki akibat menendang objek keras di kelas,” katanya.
Dalam kejadian Isnin lalu, katanya, kebanyakan pelajar terpaksa tidur beramai-ramai di surau asrama kerana bimbang gangguan berterusan.
Ketika itu, tokoh agama terkenal, Datuk Haron Din dipanggil datang ke sekolah untuk membantu menghentikan gangguan histeria itu.
“Saya dan pelajar lain yang sedang membaca surah Yasin di surau terkejut apabila seorang pelajar perempuan tiba-tiba bangun dan menjerit.
“Dia yang hilang ingatan berlari ke luar dari surau sebelum dikejar beberapa guru lain. Pelajar itu akhirnya dapat ‘ditangkap’ sebelum diberi rawatan di surau,” katanya.
“Selain terkena rasukan, ada pelajar mengadu tiba-tiba terasa lemah badan tanpa sebab,” katanya.
Selepas tiga hari gangguan terbabit masih tidak menunjukkan tanda berhenti, pihak sekolah menasihatkan ibu bapa membawa pulang anak masing-masing sehingga Ahad ini.
Difahamkan, arahan ‘bercuti’ itu hanya dikenakan kepada pelajar yang terkena histeria dan mengadu lemah badan.
Seorang kakitangan sekolah yang enggan namanya didedahkan, berkata kejadian sama pernah berlaku kira-kira lima tahun lalu.
Menurutnya, serangan itu dipercayai ada kaitan dengan projek pembinaan sebuah sekolah baru yang bersebelahan tapak sekolah menengah itu.
“Ada kemungkinan tempat itu diganggu menyebabkan pelajar sekolah ini menjadi mangsa,” katanya.
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati beberapa ibu bapa datang di sekolah terbabit untuk mengambil anak masing-masing.
Sementara itu, jurucakap sekolah itu yang dihubungi, berkata satu laporan berhubung kejadian itu sudah dihantar kepada Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran di Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pihak sekolah sudah mengambil langkah sewajarnya, termasuk mendapatkan khidmat tokoh agama untuk memulihkan keadaan.
Ibu bapa pelajar yang terkena histeria juga dinasihatkan membawa pulang anak masing-masing semalam.
Posted by Daniellia Zainisya at 9:35 AM 0 comments





