PMR 2002:-
PMR: 17,994 calon dapat semua A
Oleh Mohd Fuad Razali dan Syuhada Choo Abdullah
KUALA LUMPUR, Isnin: Seramai 17,994 atau 4.6 peratus daripada 391,431 calon sekolah kerajaan yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, mendapat A bagi semua mata pelajaran.
Jumlah itu meningkat 4,119 calon berbanding 13,875 atau 3.5 peratus yang dicatatkan tahun lalu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat, berkata peningkatan itu boleh dibanggakan kerana calon mencatat pencapaian memberangsangkan terutama dalam mata pelajaran penting, seperti Bahasa Melayu, Inggeris dan Matematik.
"Ini sejajar hasrat kerajaan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris pada tahun akan datang," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan PMR 2002 di Kementerian Pendidikan, hari ini.
Dalam peperiksaan itu, peratus calon yang melepasi tahap penguasaan minimum iaitu Peringkat A, B, C dan D bagi subjek Bahasa Inggeris meningkat 7.5 peratus kepada 69.9 peratus, berbanding 62.4 peratus tahun lalu.
Bahasa Melayu pula mencatat peningkatan dua peratus daripada 91.5 peratus tahun lalu kepada 93.5 peratus, manakala Matematik meningkat 0.7 peratus daripada 90.6 peratus kepada 91.3 peratus.
Peperiksaan PMR yang masuk tahun ke-10 tahun ini, berlangsung mulai 14 hingga 17 Oktober lalu di 2,799 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Pencapaian dalam mata pelajaran PMR dilaporkan berdasarkan lima peringkat iaitu A (Cemerlang), B (Kepujian), C (Baik), D (Mencapai Tahap Penguasaan Minimum) dan E (Tidak Mencapai Tahap Penguasaan Minimum).
Oleh kerana tiada konsep lulus atau gagal dalam keputusan PMR, semua calon yang mengambil peperiksaan itu layak menerima pernyataan keputusan masing-masing serta naik ke tingkatan empat.
Abdul Rafie berkata, peningkatan mendadak dalam pencapaian Bahasa Inggeris berikutan langkah Kementerian Pendidikan seperti penambahan latihan untuk guru subjek berkenaan, pengenalan elemen sastera Inggeris dalam mata pelajaran itu serta program pembacaan meluas yang dirancang di sekolah.
Katanya, program seperti kejurulatihan bahasa Inggeris, latihan bersama dengan membawa guru dari negara penutur bahasa Inggeris ke Malaysia, pertambahan guru yang terlatih dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua di luar negara turut menyumbang kepada peningkatan itu.
"Bagaimanapun kita berhasrat untuk meningkatkan lagi pencapaiannya setanding subjek lain pada pada masa depan.
"Saya percaya langkah memperkenalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris serta usaha bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dapat meningkatkan pencapaian berkenaan," katanya.
Subjek Sains pula mengekalkan pencapaian tahun lalu pada kadar 95.2 peratus, manakala Sejarah meningkat 0.7 peratus daripada 90 peratus kepada 90.7 peratus, Geografi meningkat 0.2 peratus (94.7 peratus kepada 94.9 peratus) dan Pendidikan Islam menurun 0.1 peratus (91.8 peratus kepada 91.7 peratus).
Bagi subjek Kemahiran Hidup Bersepadu, kertas Pilihan 1 mencatat pencapaian 1.4 peratus daripada 93 peratus kepada 94.4 peratus, Pilihan 2 meningkat 2.5 peratus (94.7 peratus kepada 97.2 peratus) dan Pilihan 3 meningkat 3.7 peratus (90 peratus kepada 93.7 peratus).
Bagi mata pelajaran tambahan pula, Bahasa Arab mencatat peningkatan 2.4 peratus, Cina (5.1 peratus) dan Tamil (3.9 peratus) manakala Punjabi dan Iban masing-masing mencatat penurunan 1.1 peratus dan 2.3 peratus.
Pada majlis itu juga, Abdul Rafie menyampaikan surat penghargaan kepada 10 sekolah yang muncul sebagai sekolah terbaik dari segi pencapaian Peringkat A bagi semua subjek yang diambil.
Daripada jumlah itu, masing-masing empat bagi kategori sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah harian serta satu kategori Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan satu lagi sekolah swasta.
Sekolah itu ialah Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) yang mencatat 88.4 peratus, SMS Sultan Mahmud Kuala Terengganu (85 peratus), Sekolah Alam Shah (84.2 peratus), Sekolah Datuk Abdul Razak Seremban (80.3 peratus), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki Kuala Lumpur (71.2 peratus), SMK Victoria Kuala Lumpur (61.1 peratus), Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri (52 peratus), SMK Agama Sheikh Abdul Malik Kuala Terengganu (51.9 peratus), MRSM Yayasan Terengganu Dungun (83.3 peratus) dan Kolej Yayasan Saad Melaka (96.4 peratus).
Abdul Rafie berkata, 34 sekolah berasrama penuh memperoleh pencapaian 100 peratus melepas tahap penguasaan minimum dalam semua mata pelajaran di samping pencapaian yang tinggi pada Peringkat A.
Sekolah Menengah Sains Selangor mendahului senarai SBP apabila 107 daripada 121 pelajarnya mencapai A bagi semua subjek.
Bagi sekolah menengah harian, 31 sekolah mencapai 100 peratus melepasi tahap penguasaan minimum, MRSM (semua 11 maktab) manakala sekolah swasta (lima).
Mengenai pencapaian sekolah luar bandar, beliau berkata, pencapaiannya agak memberangsangkan terutama bagi subjek Bahasa Inggeris yang mencatat 61.9 peratus, Bahasa Melayu (93.4 peratus), Matematik (89.5 peratus) dan Sains (94.8 peratus).
Monday, February 18, 2008
Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) ~ PMR 2002
Posted by Daniellia Zainisya at 5:53 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


0 comments:
Post a Comment